Oct 19, 2011

Tahniah Kucing Malaya! - And a bit of a side note...

Liga I kini sudah sampai ke penghujung saingan dan perlawanan terakhir pendahulu liga iaitu antara Kucing Malaya dan The Legend berkesudahan Kucing Malaya menewaskan The Legend 1-0 sekaligus mengesahkan kejuaraan milik Kucing Malaya. Ini merupakan kejuaraan pertama milik Kucing Malaya selepas 2 siri liga berlangsung. Di sini pihak admin mengucapkan tahniah kepada para pemain dan pengurusan pasukan Kucing Malaya di atas kejayaan merangkul kejuaraan buat kali pertama. Tahniah!

Sedikit nota tambahan. Oklah, lebih kepada isu utama daripada nota tambahan. Banyak point yang ingin diutarakan di sini dan ia sama penting dengan berita kejuaraan Kucing Malaya.

Walaupun kebanyakannya hanyalah cadangan, namun diharapkan agar diberi pertimbangan oleh pihak pengurusan Liga I untuk memperbaiki segala kelemahan dalam liga ini. Selaku penulis indie dalam blog ini, saya terpanggil untuk menulis mengenai perkara ini kerana ia bersangkut paut dengan kelancaran dan kemeriahan liga ini di masa akan datang.

Point di bawah adalah antara beberapa cadangan dan isu yang akan saya utarakan dan diharap mendapat perhatian pihak pengurusan liga :

  • Format liga

Ramai sudah sedia maklum mengenai sistem liga ini berlangsung. Kerana liga ini hanya berjalan untuk satu semester, liga ini memilih untuk menggunakan sistem liga satu pusingan. Tidak ada Home & Away. Pemilihan sistem ini adalah sesuatu yang tepat kerana dalam masa yang singkat, kita dapat menghabiskan semua perlawanan dalam liga. The downside ialah tidak ada timbal balik dan ini sedikit merencatkan permainan. Apapun masa adalah keutamaan maka pemilihan format ini adalah bertepatan dan sangat sesuai. Pengurusan liga telah melakukan kerja yang bagus dalam mengatur format liga. Namun masa perlawanan sepanjang 38 minit, meski memberi kepuasan kepada para pemain kerana tempoh permainan lebih lama namun sedikit menyukarkan buat pengurusan untuk mengatur permainan. Mungkin permainan lebih pendek membolehkan beberapa perlawanan diadakan dalam masa sehari dan mempercepatkan serta melancarkan perjalanan liga. Apapun, format liga ini sudah cukup bagus pada pandangan saya. Sekiranya ada perubahan yang perlu dibuat, hanya perubahan minor sahaja.

  • Sistem pendaftaran pemain

Beginilah. Setiap pasukan memang wajib mendaftar seramai 16 orang pemain. Namun ini sebenarnya menyukarkan pasukan bertanding kerana sekiranya mejoriti pemain ketika itu berada di luar atau berada di kelas dan pasukan kekurangan pemain ketika itu, ini memaksa pengurusan untuk menunda perlawanan ke masa yang lebih sesuai. Ini menggangu kelancaran liga kerana memakan masa dan seperti kita dapat lihat pada liga musim ini semua perlawanan terpaksa dimuatkan ke dalam satu minggu sahaja. Inilah antara faktor mengapa liga agak sibuk di penghujung kerana untuk menghabiskan baki perlawanan. Saya ada satu cadangan ingin diutarakan. Namun terserah kepada pengurusan liga andai mahu melaksanakannya atau tidak. Ini hanya pendapat peribadi. Saya mencadangkan jumlah pemain berdaftar ditambah. Letakkan minima jumlah diperlukan pasukan dan maksimum. Dengan lebih ramai pemain berdaftar, permainan dapat diteruskan walaupun ramai pemain tidak dapat hadir. Dengan format ketika ini, sekiranya ada 7 orang pemain dari batch yang sama dan semuanya terpaksa keluar menghadiri aktiviti dianjurkan maktab, permainan terpaksa ditunda. Harap pihak pengurusan akan menimbang cadangan ini.

  • Jadual perlawanan

Satu yang dapat saya lihat perjalanan liga tersangkut di beberapa ketika kerana penangguhan perlawanan oleh beberapa pasukan terlibat. Andai mereka terlibat dalam aktiviti maktab bolehlah kita pertimbangkan. Namun dari pemerhatian saya penangguhan perlawanan diberikan atas sebab kurang signifikan. Ini menunjukkan pasukan tidak memberi komitmen kepada perlawanan. Sekiranya pengurusan lebih tegas dalam hal ini, liga kita tidak akan menghadapi masalah kesuntukan masa seperti yang kita hadapi ketika ini. Pengurusan perlu lebih tegas. Hanya atas urusan rasmi sahaja perlawanan boleh ditangguhkan. Sekiranya pemain tidak mencukupi seperti kebanyakan masih belum pulang dari kampung, kaji dahulu. Andai notis keluar lewat dan pemain telah pulang, maka adalah wajar untuk menangguh perlawanan. Apapun, sekali lagi saya serahkan kepada pengurusan untuk membuat pertimbangan.

  • Piala FA?

Perlukan pengesahan. Adakah akan diadakan Piala FA dengan sistem kalah mati? Sekiranya ada, saya menyokong. Namun refer kepada 2 point di atas untuk melancarkan perjalanan liga dan mengelakkan kesuntukan masa.

  • Divisyen kedua

Ini adalah salah satu perancangan yang besar. Memang bagus untuk kemajuan liga tapi kita perlu berikan komitmen andai kita mahu rancangan ini berjaya. Saya menyokong, namun harus lebih relevan. Andai hanya ada 10 pasukan berdaftar, untuk membuat 2 divisyen adalah kurang sesuai. Andai kata ada kira-kira 14 pasukan, masih relevan untuk dipecahkan kepada dua divisyen. Namun segalanya terserah kepada pihak pengurusan. Saya menyokong andai pengurusan liga berhasrat untuk memecahkan liga ini kepada 2 divisyen.

  • Tajaan

Aneh? Ya. Kerana hanya ada beberapa pasukan sahaja yang mendapat tajaan dalam Liga I. Radix FC adalah antara pasukan yang mempunyai tajaan dari syarikat Radix. Cadangan saya adalah bagi setiap pasukan untuk ditaja oleh setiap jabatan dalam IPGKPP. Contohnya pasukan seperti Newborn United boleh mendapatkan tajaan jersi dari Jabatan Bahasa. Letakkan di dada jersi logo Jabatan Bahasa IPGKPP. Apapun ini cuma untuk mencantikkan jersi sahaja rupanya. Dan untuk mengurangkan kos kerana jabatan akan membelanjakan separuh dari wang perbelanjaan jersi. Makanya point yang ini agak kurang relevan. Saya rasa ini kurang penting. Mungkin jika pasukan itu inginkan tajaan, mereka boleh meminta tajaan sendiri seperti Radix FC. Sekali lagi, pihak pengurusan boleh pertimbangkan.

  • Perlawanan Tumpuan dan Liga Rasmi

Kita patut jadikan liga ini sebagai liga rasmi IPGKPP. Kenapa ada 2 point? Kerana 2 point ini saling berkait. Liga rasmi bermakna kita boleh meminta sedikit peruntukan dari pihak IPG bagi menjayakan liga. Apapun tugas ini agak sukar untuk dilaksanakan. Anggaplah saya ini suka berangan namun sejujurnya saya begitu teringin melihat Liga I menjadi liga rasmi bagi IPGKPP. Berkenaan perlawanan tumpuan, kita boleh jemput pengarah atau orang-orang penting dalam organisasi IPGKPP untuk menonton perlawanan tersebut. Buatlah seperti satu perlawanan rasmi dengan nyanyian lagu negaraku, lagu negeri dan sebagainya sambil berbaris di tengah padang. Imaginasi itu indah bukan? Ya, memang saya boleh berimaginasi begitu. Teringin berdiri di tengah padang sambil memegang lencana menyanyikan lagu negaraku. FUHH everyone have a dream isn't it?

Oklah sebenarnya semua point ini adalah angan-angan saya sahaja. Merealisasikan angan-angan ini adalah sesuatu yang sukar, namun tidaklah mustahil. Apapun sekali lagi saya tegaskan, it's up to the management. Kalau pengurusan liga rasa point ini relevan, laksanakanlah. Apapun memang kita meminta sesuatu yang keterlaluan andai kita mahu semua point ini untuk tercapai dalam masa singkat. Itu dah macam meminta negara San Marino, negara tercorot dalam senarai bola sepak FIFA, untuk memenangi Piala Dunia. Gila apa? Kita kasi kayuh pelan-pelan dulu. Jangan tetibe nak kayuh laju kang tak pepasal krem kaki. Tak caya tanya Azizulhasni Awang

Ape celup tetibe nama gua dilibatkan dalam cerita ni? Gua men lumba basikal bukan bola...

Senang cerita, takde tekanan kepada pengurusan untuk melaksanakan semua ni dalam masa singkat. Tiada tekanan. Cuma kami fikir kalau semua ini terlaksana, nescaya liga kita akan menjadi antara liga kompetitif yang akan melahirkan pemain-pemain IPG yang berdaya saing dan lebih bersedia menghadapi cabaran liga lebih tinggi.

Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada pasukan Kucing Malaya atas kejayaan menjulang kejuaraan sulung mereka. Usaha keras mereka sepanjang musim telah membuahkan hasil. Raikanlah kejayaan pasukan anda menjulang piala dan buat The Legend, anda telah berusaha sebaik mungkin. Mungkin anda kurang bernasib baik dan Kucing Malaya juga sedang dalam top form mereka. Memandangkan The Legend rata-rata dibarisi pemain yang akan meninggalkan IPG hujung tahun ini, saya bagi pihak admin mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar dan semoga berjaya dalam segala perkara yang anda kerjakan.

Liga I melabuhkan tirainya. Diharapkan liga musim hadapan lebih sengit dan lebih dramatik. Semoga kita berjumpa lagi di musim hadapan dan selamat menghadapi peperiksaan buat warga IPGKPP

I know. The last word spoils everything isn't it? Huhuuuu

No comments:

Post a Comment