Sep 22, 2012

Transfer List Liga-I


Liga I melabuhkan tirainya sedikit awal tahun ini. Di awal tahun kita disajikan dengan persembahan mantap pasukan-pasukan bersaing dalam Liga I manakala di semester kedua tahun ini kejohanan I-Cup bercorak kalah mati menyajikan persembahan yang dinamik penuh dramatik. Liga kali ini berjalan lancar walaupun di awal saingan beberapa masalah timbul sedikit merencatkan permainan. Apapun liga ini telah dikelolakan dengan baik dan pihak penganjur wajar diberikan pujian atas usaha mereka tahun ini.

            Tujuan entri ini ditulis adalah bagi mengutarakan pandangan dan cadangan admin untuk menambahbaik lagi liga ini. Apapun ini sekadar cadangan dan pandangan peribadi admin, jika dirasakan elok bolehlah dipraktikkan di masa akan datang. Jika rasanya kurang elok tidak perlulah dilaksanakan.

            Pertama sekali di awal musim keempat semester kedua tahun ini (ketika berlangsungnya I-Cup yang julung kali diadakan) berlaku sedikit masalah ketika pendaftaran. Pasukan berdaftar tidak cukup ahlinya menyebabkan beberapa pasukan dipaksa menarik diri dari saingan. Malah ada pasukan yang baru terbentuk di malam pendaftaran pasukan kerana ketiadaan pemain. Pasukan itu bernasib baik tetapi bagaimana pula dengan pasukan yang lain? Mereka juga pastinya mahu bersaing dalam kejohanan ini sama seperti yang lain namun peluang mereka direntap kerana kekurangan pemain untuk bersaing. Lebih aneh ketika I-Cup sedang hangat berlangsung, secara tiba-tiba ramai pula pemain yang meminta didaftarkan untuk kejohanan ini. Sekiranya mereka mendaftar lebih awal mereka ini sudah boleh membentuk pasukan mereka sendiri. IPG kita ini bukan kecil dan jumlah pemain juga bukan sedikit. Ramai, cuma kurang dikenali. Mereka ini jarang mendapat peluang menonjolkan bakat kerana faktor-faktor tertentu. Mereka boleh bermain dan mereka mahu bermain, cuma mereka tidak mempunyai pasukan untuk diwakili. Cadangan admin bagi mengatasi masalah ini, ialah menyediakan satu senarai ‘Transfer List’ I-League. 

            Rasional di sebalik kewujudan ‘Transfer List’ I-League ialah untuk membantu pemain yang tidak mempunyai pasukan dan juga memperkemas system perpindahan pemain dalam liga ini. Begini, biar admin terangkan. Pemain yang masih tidak mempunyai pasukan perlu mendaftar nama mereka di dalam senarai ini. Mereka akan didaftarkan di bawah kategori ‘Free Agent’ iaitu pemain tidak terikat (pada mana-mana pasukan). Mereka ini akan diberikan tempoh percubaan dengan mana-mana pasukan yang bersaing dalam liga. Sekiranya pasukan itu berpuas hati, mereka bolehlah mendaftarkan pemain ini ke dalam pasukan mereka. Harus diingat andai berlaku persaingan untuk pemain, keputusan akan terletak di tangan pemain tersebut. Maka adalah lebih elok jika pemain tersebut mencuba nasib di beberapa pasukan terlebih dahulu bagi mencerahkan peluang pemain untuk terpilih.

            Kepada pemain yang sudah mempunyai pasukan namun ingin berpindah, mereka perlu terlebih dahulu mendaftar nama mereka di dalam senarai ini. Nama mereka akan muncul dalam senarai dengan status ‘Transfer Listed’. Rasional mengenai perubahan status ini adalah bagi memberi masa pasukan untuk memujuk pemain atau menyediakan pengganti di posisi yang ditinggalkan. Ia juga dapat memperkemas lagi perjalanan liga kita. Perpindahan pemain akan lebih tersusun dan saingan akan menjadi semakin sengit. Masalah pendaftaran pemain juga akan dapat diselesaikan. Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana pula nasib pemain yang tidak terpilih? Pemain di bawah status ‘Free Agent’ yang tidak terpilih akan terpinggir dari saingan liga? Sebenarnya mereka masih berpeluang untuk bersaing dalam liga ini. Bagaimana? Pemain ‘Free Agent’ ini bolehlah menubuhkan pasukan baru dengan mengambil kesemua pemain ‘Free Agent’ yang masih available. Dengan ini tiada lagi masalah pemain terpinggir dan kita juga dapat memeriahkan lagi liga kita ini.

            Tempoh percubaan pemain adalah selama 3 minggu sebelum pendaftaran pasukan. Senarai ‘Transfer List’ akan dikeluarkan lebih awal bagi memberi peluang pasukan untuk memancing pemain masuk ke pasukan mereka. Dalam tempoh itu, pemain bebas untuk berpindah kelab namun selesai pendaftaran bermakna tamat tempoh perpindahan (Jendela perpindahan tertutup). Di pertengahan liga (selepas selesai separuh dari perlawanan liga) jendela perpindahan akan dibuka semula, bukan untuk perpindahan kekal(pemain berdaftar dalam pasukan) sebaliknya adalah perpindahan berbentuk pinjaman. (oleh itu adalah rasional bagi setiap pasukan berdaftar menyediakan jersi kosong yang seragam dengan jersi pasukan mereka bagi member peluang meminjam pemain) TETAPI, hanya seorang pemain boleh dipinjam oleh sesebuah pasukan hanya untuk menyertai baki separuh lagi perlawanan liga. Perjanjian ini adalah suka sama suka bermakna kedua pasukan dan pemain bersetuju untuk meminjamkan/meminjam pemain tersebut bagi mengharungi saingan liga. Pemain berdaftar tidak boleh lagi berpindah dalam tempoh ini TETAPI pemain dalam senarai ‘Free Agent’ berpeluang untuk menyertai pasukan bersaing. (Ini adalah demi melancarkan perjalanan liga andai majority pemain terpaksa keluar dari kampus atas urusan rasmi. Kucing bersalin adalah urusan tidak rasmi, harap maklum. Perlawanan BPL atau El Clasico malam perlawanan juga bukan alasan rasmi) Tempoh jendela perpindahan ini adalah seminggu. Pemain ‘Free Agent’ dan pinjaman perlu didaftar dalam tempoh ini. Andai mereka gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan, pemain pinjaman terpaksa pulang kepada pasukan asal dan pemain ‘Free Agent’ hanya perlu menunggu musim akan datang andai mahu menyertai liga ini.

Admin juga mencadangkan agar jumlah pemain dalam pasukan ditambah kepada sekurang-kurangnya 17 pemain bagi setiap pasukan. Sekadar untuk melancarkan perjalanan liga andai ada pemain perlu keluar kampus untuk pelbagai urusan yang tidak dapat dielakkan. Diharapkan pihak penganjur dapat menimbangkan cadangan ini. Sekian.